Friday, March 8, 2013

"A" yang dilupakan ??


بسم الله الرحمن الرحيم


اَلْحَمْدُ لِله رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ، سَيِّدِنَا وَمَوْلَانَا  مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.





Kita dapat lihat pada hari ini ramai golongan bijak pandai dalam negara kita. Tidak dinafikan bahawa mereka mempunyai ilmu yang banyak. Mereka dapat straight A dalam UPSR, PMR dan SPM begitu juga dalam IPT yang sentiasa mendapat 4 flat. Kita sering mengejar untuk mencapai straight A dan juga 4 flat.

Kita terlupa dengan "A" yang utama untuk diri kita. "A" tersebut merupakan perkara yang penting dalam kehidupan seharian kita sebagai umat Islam.

Apakah "A" yang dimaksudkan itu?

"A" yang dimaksudkan penulis adalah "ADAB/AKHLAK"!!

Ya, adab/akhlak adalah perkara yang penting bagi kita!

Ditegaskan bahawa "A" tersebut bukan sahaja pada peringkat sekolah mahupun peringkat IPT bahkan untuk kita semua! Untuk kehidupan seharian kita. Interaksi kita dengan ibu dan bapa, guru, rakan, masyarakat dan negara. 

Oleh itu, bawalah adab tersebut dimana-mana sahaja kita berada kerana adab merupakan perkara yang paling mulia.

Dalam hadith Nabi s.a.w bersabda :

أدبني ربي فأحسن تأديبي
"Tuhanku telah megajarkanku adab, maka alangkah baiknya pengajaran adabku"

Seterusnya pendapat ulama' mengenai pentingnya adab

Kata Imam Syafi'e r.h "Berkata Imam Malik r.h kepadaku :
أجعل علمك ملحا وأدبك دقيقا
Jadikanlah ilmumu sebagai garam dan adabmu sebagai tepung".

Kata Ibn al-Mubarak : "Adab walaupun sedikit adalah lebih kami perlukan daripada ilmu yang banyak."

Kata Abdul Rahman al-Qasim r.h : "Aku telah berkhidmat bersama Imam Malik r.h selama 20 tahun; 2 tahun daripadanya untuk mempelajari ilmu dan 18 tahun untuk mempelajari adab. Alangkah baiknya sekiranya aku dapat menjadikan seluruh masa tersebut mempelajari adab."

Disini kita lihat betapa pentingnya adab dalam hidup kita. Kita dapat lihat ulama' yang terdahulu mengutamakan adab dalam kehidupan seharian mereka.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua terutamanya kepada diri saya yang lemah ini untuk bermuhasabah diri. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk menjaga adab kita dimana-mana sahaja, bila-bila masa dan kepada siapa-siapa sahaja. Sematkan dalam diri dan hidup kita untuk beradab sebagai mukmin yang sejati dan menjaga imej kita sebagai umat islam.

Tidak kiralah sekiranya kita tidak mendapat "A" dalam mana-mana subjek yang dipelajari. Janji "A" yang bernama adab/akhlak ada pada diri setiap individu yang akan membawa kita kearah kebaikan.

wallahualam... 

وَصَلَى اللهُ عَلَى خَيْرِ خَلْقِهِ وَمَوْلاَنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم




Sumber rujukan:
Adab & Doa Penuntut Ilmu karya Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al Maliki
Views

2 comments: