Monday, March 11, 2013

Jadikanlah dirimu umpama "PENA"

بسم الله الرحمن الرحيم



اَلْحَمْدُ لِله رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ، سَيِّدِنَا وَمَوْلَانَا  مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.




"Mengapa pena?"
"Apa kena-mengena diri kita dengan pena?"
"Mesej apa yang saya cuba sampaikan?" 

Pena merupakan alat yang sentiasa kita gunakan menulis. Saya masih ingat lagi semasa di sekolah dahulu cikgu menyuruh kita menulis sebuah cerpen mengenai "Aku sebuah pensil". Adakah anda pernah disuruh oleh guru anda untuk menulis sebuah cerpen tersebut? Semestinya ada yang pernah dan berkemungkinan ada yang belum pernah. Tetapi sekarang ini saya akan menulis "Jadikanlah dirimu umpama pena" 

Maksud pena disini adalah kita. Kita ibarat pena yang ada dakwat untuk ditulis.

Pena = Kita
Dakwat = Ilmu
Tulisan=Penyebaran ilmu

Sudahkah anda memahaminya?

Kita sering mendengar orang bijak pandai mengatakan "Pena lebih tajam daripada pedang." Ya, memang benar pena lebih tajam daripada pedang sekiranya ada dakwat! Begitu juga dengan kata Napoleon Bonaparte "Saya lebih takut pada sebuah pena daripada seratus meriam." Sekiranya meriam ada peluru maka pena mempunyai dakwat sebagai pelurunya!

Jangan lupa menulis!

Sememangnya pena adalah untuk menulis iaitu menyebarkan ilmu. Oleh itu sebarkanlah Ilmu tersebut! Kembangkanlah ilmu tersebut! Jangan sesekali jadi orang yang bakhil!

Dalam hadith daripada Abdullah bin Amr r.a meriwayatkan bahawa Baginda s.a.w bersabda:

بلغلوا عني ولو آية
"Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat..."
(HR al Bukhari, Ahmad dan Tirmidzi)

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Baginda s.a.w bersabda.

أفضل صدقة أن يتعلم المرء المسلم علما ثم يعلمه أخاه المسلم
"Yang paling afdhal sedekah ialah orang Muslim yang belajar ilmu kemudian mengajarkannya kepada saudaranya sesama Muslim."
(HR Ibn Majah)

Wah! Mengajarkan ilmu adalah sedekah malah lebih baik lagi daripada sedekah yang lain!

Imam al-Hasan al-Basri r.h meriwayatkan bahawa " Sesungguhnya  aku mempelajari satu bab ilmu kemudian aku mengajarkannya kepada seseorang Muslim adalah lebih aku sukai daripada aku memiliki seisi dunia ini, dan aku gunakan semuanya pada jalan Allah"

Sebenarnya, sekiranya pena tersebut tidak digunakan bagaimana kita hendak isi dengan dakwat baru? Sama seperti kita juga. Sekiranya kita tidak mengajarkan ilmu kepada orang lain bagaimana pula ilmu baru yang hendak diisi?


Oleh itu, janganlah kita mempunyai sifat bakhil dalam menyebarkan ilmu. Semakin banyak kita mengajar semakin banyak ilmu yang kita akan dapat sebenarnya. Jangan jadi kedekut!

Jangan lupa dakwat!

Apa yang dikatakan tadi dakwat mempunyai prinsip yang sama dengan kapak. Kapak yang tumpul perlu diasah supaya menjadi tajam. Tujuan ditajamkan adalah untuk menebang pokok dengan mudah. Dakwat adalah pengasah ataupun peluru bagi pena. Jadi kita perlu "refill" pena dengan dakwat baru. Sama seperti kita yang seharusnya perlu mengisi ilmu baru! Dakwat adalah senjata bagi penyebaran dakwah!

Jadilah seperti Imam Abu Hanifah r.h.

"Mengapa Imam Abu Hanifah r.h?"

Mengapa digelarkan Abu Hanifah? Gelaran tersebut beliau dapat kerana mempunyai anak yang bernama Hanifah. Tetapi mengapa Hanifah? "Hanifah" dalam bahasa Parsi bermaksud dakwat. Hal ini kerana, beliau suka membawa dakwat ke mana sahaja dia pergi untuk mencatat ilmu.

Oleh itu belajarlah ilmu hingga akhir hayat seperti kata Ulama' : "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad!"

Anas r.a meriwayatkan bahawa Baginda s.a.w :


طلب العلم فريضة على كل مسلم

"Menuntut ilmu adalah kewajiban kepada setiap Muslim..."
(HR Ibnu Majah dan al-Baihaqi)

Lihatlah hadis ini! Menuntut ilmu adalah kewajiban kita. Kita yang bergelar "Muslim".

Sebab itulah seharusnya kita jangan lupakan dakwat! Bawalah dakwat tuh sebagaimana kata pepatah Melayu mengatakan "Bagai isi dengan kuku".

Sebelum saya akhiri penulisan ini, saya ingin mengingatkan diri saya terutamanya untuk menghayati firman Allah s.w.t :

"Dan sekiranya Segala pohon Yang ada di bumi menjadi pena, dan Segala lautan (menjadi tinta), Dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."


Sekiranya ada salah dan silap dalam penulisan saya harap ditegur kerana saya adalah manusia yang kerdil yang sentiasa inginkan tunjuk ajar. Saya memohon maaf sekiranya dalam penulisan ini ada menyakitkan hati mana-mana individu yang membaca. Moga dengan penulisan ini dapat membantu kita untuk terus menuntut ilmu.

Pena murahan yang ditulis untuk menyebarkan ilmu lebih berharga daripada pena mahal yang dijadikan hiasan.

wallahualam..



وَصَلَّى اللُه عَلَى خَيْرِ خَلْقِهِ سَيِّدِنَا وَمَوْلَانَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَ صَحْبِهِ وَسَلَّمَ


Sumber rujukan :
Novel Imam Hanafi karya Abdul Latip Talib
Martabat Ilmu dan Ulama karya TG Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.

Siap tepat pada pukul : 5:24 PM
Views

2 comments: