Wednesday, March 13, 2013

Awan hitam yang menutupi hati..

بسم الله الرحمن الرحيم




Pada suatu ketika, awan kelihatan mendung menutupi sinar cahaya matahari. Awan hitam yang menjadi suasana gelap. Angin pada ketika itu kuat sehingga mampu menolak awan. Aku cuba merasakan kedinginan angin tersebut di jendela. Merenung pada awan yang semakin lama semakin besar itu seolah-olah ingin memberikan rahmat Allah kepada alam ini.

Tiba masa hujan pun telah membasahi bumi. "Alhamdulillah!" Perkataan tersebut telah membisik hati seorang hamba Allah yang memuji rahmatNya yang diberikan. Tersenyum hamba Allah itu tadi melihatkan rintisan pada awan yang menjadi perantaraan untuk menyuburkan alam yang menjadi persinggahan sekalian makhluk.

Akhirnya, hujan pun berhenti maka sinar matahari sudah kelihatan. Tiba-tiba terlihat pelangi  tujuh warna yang indah tersebut mewarnai pemandangan bagi segala makhluk yang ada. "SubhanAllah!" bisik hati seorang hamba yang melihat keindahan ciptaan Allah. Tersenyum lagi hamba Allah itu melihat keindahan ciptaan Allah.

Awan hitam.

Aku duduk seketika, sambil memikirkan mengapa dijadikan Sunnatullah bagi alam ini. Tiba-tiba, terlintas difikiran mengenai hati yang penuh dengan 'awan hitam'.
Air mata mula membasahi bumi kerana itulah hakikat hidup sebenar kita yang hati kita ini penuh dengan 'awan hitam'. "Astaghfirullah hal 'Azim" Hati mula berbicara mengingati keinsafan diri. Tangisan tersebut membuatkan hati sayu seketika sambil merenung dosa yang dijadikan awan hitam dalam hati.

Hujan.

Dalam tangisan sambil memikirkan mengapa perlu hujan? Begitu jugalah kita sebagai manusia. Apabila awan hitam ada pada hati kita sepatutnya kita hendaklah menangis dengan keinsafan serta taubat bagi menghilangkan awan hitam tersebut. Terdetik di hati seorang insan insaf atas perbuatannya lalu mulalah bertaubat atas kesilapan yang lalu.

Sinar cahaya matahari.

Setelah taubat dengan penuh harapan, hamba Allah itu mengharapkan sinar cahaya hati sebagaimana sinarnya cahaya matahari menerangi bumi.

Pelangi.

Pastinya diri ini merasakan begitu indahnya kehidupan seharian sebagaimana indahnya pelangi dunia. Itulah selok-belok perjalanan seorang hamba Allah yang wajar dijadikan teladan dalam seharian hidup kita. Alam mempunyai rahsia tersendiri untuk kita pelajari. 

Belajar dari alam

Belajarlah dari alam yang sentiasa taat pada perintah ilahi supaya dijadikan teladan bagi kita.  Kehidupan alam mempunyai pelbagai hikmah yang boleh diteladani. Dari hati dipenuhi awan hitam, sehingga hujan. Dari hujan awan hitam mulai kecil sehinggan nampak sinar cahaya matahari. Seterusnya, terbentuk sebuah pelangi yang indah. Itulah kehidupan seharian kita. 


Sebuah hadith yang kita patut renungi.


Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi s.a.w, dia bersabda : "Sesungguhnya seseorang hamba itu bila melakukan satu dosa, dititik pada hatinya satu titik hitam. Jika dia bertaubat, berhenti dan meminta ampun, dihilangkan (titik hitam) dari hatinya. Dan jika dia kembali (melakukannya) bertambahlah (titik hitam) hingga mengalahkan hatinya.

(Tuhfah al-Ahwazi jilid 1 m/s 32)

Hidup kita ini ibarat roda. Oleh itu jangan putus asa untuk menjadi sinar pada hati!

Rujukan http://www.darulkautsar.net/print.php?page=&ArticleID=33
Views

No comments:

Post a Comment